MANJUNG – Seorang wanita Vietnam berusia 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kebakaran tiga buah rumah di Taman Singa, Sitiawan pada pukul 2.50 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung telah menerima panggilan MERS999 daripada seorang lelaki Cina bagi memaklumkan tentang kejadian itu.
Menurut beliau, pengadu berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pembancuh air itu memberitahu rumah serta tiga kenderaan miliknya di Taman Singa telah terbakar.
“Kebakaran berkenaan telah merebak dengan cepat dan telah mengakibatkan dua buah rumah yang berdekatan turut terbakar.
“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran lebih kurang 30 minit yang mana ia berpusat dari garaj rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Hasbullah berkata, hasil pemeriksaan pihak bomba mendapati 90 peratus rumah pengadu bersama dua buah kereta serta sebuah motosikal miliknya telah terbakar.
“Dua buah rumah lagi mengalami kebakaran antara 20 hingga 40 peratus serta sebuah motosikal juga turut terbakar. Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Beliau berkata, semakan televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat kelibat seorang lelaki membawa dua tong bersisi cecair bahan bakar ke arah rumah pengadu sebelum suspek dilihat melarikan diri selepas api mula membakar kediaman itu.
“Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan. Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Manjung telah membuat satu tangkapan ke atas seorang perempuan Vietnam bagi membantu siasatan.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Munawara Ahmad di talian 0111-624 0391 atau menerusi Bilik Gerakan IPD Manjung (05-688 6222),” katanya. – KOSMO! ONLINE