fbpx

Schumacher kempunan kembali ke kancah F1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASRAT Schumacher untuk kembali ke perlumbaan F1 tidak kesampaian apabila Audi memilih Bortoleto bagi mengendalikan jentera pasukan. – AFP

MUNICH – Peluang Mick Schumacher untuk kembali ke kancah perlumbaan Formula Satu (F1) pada musim 2025 tertutup selepas Audi memilih untuk membawa masuk juara Formula 2 (F2), Gabriel Bortoleto.

Pengumuman tersebut menutup segala spekulasi berhubung bekas pelumba pasukan Haas itu untuk berada dalam peranca­ngan pasukan Audi bagi saingan musim hadapan.

Audi yang bakal mengambil alih pasukan Sauber secara rasmi pada 2026 membuat keputusan memilih Bortoleto untuk berganding dengan Nico Hul­kenberg dalam barisan pemandu mereka.

Ketua pasukan Audi, Mattia Binotto mengakui bahawa Schumacher sememangnya berada dalam senarai pertimbangan tetapi pasukan akhirnya memilih untuk memberi peluang kepada pemandu muda Brazil tersebut.

Keputusan mengenepikan Schumacher mengulangi tindakan bos Mercedes, Toto Wolff yang turut memilih pemandu muda, Andrea Kimi Antonelli sebagai pelapis bagi menggantikan tempat Lewis Hamilton.

“Ya, kami banyak berbincang. Mick memang calon yang sa­ngat kuat dan saya mengenalinya de­ngan baik ketika dia berada dalam program junior Ferrari.

“Namun, apabila tiba masa untuk membuat keputusan, kami memilih Gabriel (Bortoleto) dan rasa itu adalah keputusan yang tepat,” kata Binotto.

Selain Schumacher, Valtteri Bottas juga dikaitkan dengan kerusi Audi, namun perbinca­ngan tergendala disebabkan keinginan Bottas untuk kontrak jangka panjang bertentangan dengan rancangan pasukan itu.

Binotto menyatakan bahawa keputusan tersebut adalah atas persetujuan bersama memandangkan pasukan sedang bersiap untuk proses transformasi besar menjelang penampilan rasmi Audi dalam F1 pada 2026.

“Kami mempunyai hubungan yang baik dengan Valtteri (Bottas) dan berbincang mengenai hala tuju dan cabaran yang bakal dihadapi pasukan ini.

“Namun, keperluan untuk membentuk pasukan muda akhir­nya mempengaruhi keputusan kami,” tambah Binotto.

Bottas kini dikaitkan de­ngan peranan sebagai pemandu simpanan di Mercedes, manakala Schumacher di­jangka kembali bersama Alpine untuk beraksi dalam saingan Kejuaraan Endurance Dunia.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI