PETALING JAYA – Selesa sendiri, pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha mengakui dirinya bukan dalam fasa terdesak dalam mencari pasangan hidup buat masa sekarang.
Tidak tergesa-gesa, Daiyan atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, 31, berkata, dia enggan terlalu berharap kepada manusia, sebaliknya hanya menunggu seseorang yang tepat buat dirinya.
“Jujurnya, saya tidak terdesak untuk mengahwini sesiapa buat masa sekarang.
“Apa paling penting, saya ingin orang di luar sana tahu sekarang bahawa saya okey sahaja dan selesa begini.
“Saya memang suka berada dalam fasa bercinta, cuma saya hanya menunggu seseorang yang tepat untuk jadikannya realiti,” katanya menerusi hantaran video dalam TikTok.
Sudah seperti menjadi pertanyaan wajib, pelantun lagu Lovelorn itu mengakui dirinya sering diasak soalan mengenai jodoh ketika hadir dalam mana-mana majlis.
“Soalan ‘bila nak kahwin’ tu sangat terkenal dan cukup sinonim bagi saya. Terutama bila saya datang majlis atau ‘event’.
“Kadang-kadang saya terfikir, salah ke kalau saya tak rasa nak ada seseorang yang istimewa buat masa sekarang ni?,” soalnya.
Semakan menerusi ruangan komen, rata-rata netizen senada dengan wanita jelita itu dan menasihatkannya agar mencari pasangan sekufu andai terbuka hati mendirikan rumah tangga kelak.
“Tidak mengapalah kahwin lambat pun, tak perlu tergesa-gesa, sekarang ini risau, lebih ramai orang cerai dari kahwin,” komen seorang netizen.
“Sekarang ini kalau awak mahu kahwin, kena pastikan cari pasangan yang sekufu, bukan sahaja dari segi pendapatan malah latar belakang. Kita bukan mahu hidup bersama sehari dua, jangan salah pilih,” tulis seorang netizen lagi. – KOSMO! ONLINE