KOTA TINGGI – Jurutera menjadi pilihan hati penyanyi Ina Naim selepas sah menjadi isteri kepada Mohd. Khairul Rizal Shukor, 41, dengan sekali lafaz dalam satu majlis ijabkabul yang berlangsung di kediaman orang tuanya di Felcra Sungai Ara di sini hari ini.
Nordiana Mohd. Naim, 40, dinikahkan Naib Kadi Daerah Kota Tinggi, Mohamad Ramadhan Mahroji yang mewakil wali bapa Ina, Mohd. Naim Samijan tepat pada pukul 9.50 pagi.
Ina menerima mas kahwin RM100, kelengkapan solat, seutas gelang tangan dan sebentuk cincin, selain wang hantaran sebanyak RM7,000.
Sebanyak lima dulang hantaran diberikan pihak pengantin lelaki, dan dibalas tujuh dulang dari pihak Ina.
Majlis penikahan yang diadakan sederhana itu dihadiri lebih 100 ahli keluarga, saudara-mara, kenalan dan orang kampung.
Dalam pada itu, Ina berkata, dia mengambil masa lebih sebulan untuk meyakinkan anak-anaknya untuk bernikah semula.
“Mulanya (anak-anak) agak tidak boleh terima sebab terlalu awal dan mereka tidak boleh ada ganti bapa. Namun saya jelaskan, mereka perlu belajar, mereka perlu ada ketua.
“Dalam sebulan dua juga yakinkan anak, alhamdulillah,” katanya kepada media selepas selesai majlis akad nikah.
Menurutnya, suaminya itu merupakan peminatnya dan juga arwah suami sebelum ini.
“Detik pertemuan, dia (suami) peminat saya dan arwah. Permulaan memang lama dapat terima sebab saya rasa terlalu awal tapi Allah sudah takdirkan. Saya solat istikharah dan dapati dia mungkin dari pilihan hati saya, itu saya terima seadanya.
“Isnin lepas sudah setahun genap arwah suami meninggal mengikut bulan Islam. Dari kisah Nabi Muhammad ada yang kematian suami habis idah dan dilamar, jadinya saya alhamdulillah Allah bagi jodoh mudah-mudahan berkat dunia akhirat,” katanya lagi.
Sementara itu, Mohd. Khairul berkata, dia mula berhubung melalui mesej pada Mei lalu untuk urusan profiling anak-anak Ina.
“Saya sangat tertarik arwah Suhaimi dan Ina macam mana mereka homeschooling. Jadi, saya buat profiling untuk anak-anak dan saya buat beberapa proposal (kertas kerja) untuk mereka.
“Maksudnya macam mana anak-anak dapat meneruskan pembelajaran dan Ina sangat berminat,” katanya yang bersyukur selepas bergelar suami Ina.
Ina bergelar ibu tunggal selepas suaminya, bekas penyanyi kumpulan nasyid In-Team, Allahyarham Suhaimi Saad, 43, meninggal dunia pada 15 November 2023.
Hasil perkahwinan dengan Suhaimi, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony. – KOSMO! ONLINE