BATU PAHAT – Seorang peniaga kedai makan di sini berputih mata apabila hasratnya mendapatkan imbuhan hasil menjual dua utas jam tangan berjenama Rolex lebur selepas ditipu seorang pembeli dengan membuat pembayaran menggunakan cek tendang.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian bermula pada 27 Oktober lalu apabila mangsa mengiklankan seutas jam tangan berjenama Rolex untuk dijual dalam laman Facebook dengan harga RM88,000.
Katanya, mangsa kemudiannya telah menerima mesej menerusi Facebook Messenger dan seterusnya mangsa telah berkomunikasi dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp bagi urusan pembelian jam tangan tersebut.
“Suspek kemudiannya telah menyatakan ingin membeli jam tangan tersebut dengan harga RM88,000.
“Mangsa seterusnya menawarkan seutas lagi jam tangan Rolex untuk dijual kepada suspek dengan harga RM52,000,” katanya
Shahrulanuar berkata, suspek bersetuju dan menyatakan ingin membeli kedua-dua jam tangan tersebut dengan harga RM140,000 dan bayaran akan dibuat ke dalam akaun mangsa.
Susulan daripada persetujuan itu, mangsa menerima mesej melalui WhatsApp daripada suspek pada 4 November lalu menyatakan bahawa bayaran telah dibuat berjumlah RM140,000 ke dalam akaun mangsa melalui mesin deposit cek.
Ujarnya, mangsa kemudiannya membuat semakan akaun bank miliknya dan mendapati bahawa terdapat kemasukan wang berjumlah RM140,000 dalam akaun milik mangsa,” katanya.
“Suspek kemudiannya meminta jam tangan tersebut dihantar kepada syarikat penghantar yang telah diupah bagi tujuan penghantaran.
“Tanpa usul periksa mangsa terus menyerahkan kedua-dua jam tangan tersebut kepada pihak penghantar untuk tujuan penghantaran kepada suspek,” katanya.
Bagaimanapun, pada 5 November lalu mangsa mendapati wang berjumlah RM140,000 tersebut telah tiada dalam akaun mangsa dan cek tersebut adalah merupakan cek tendang. – KOSMO! ONLINE