LUMUT – Cabaran semasa yang semakin kompleks dan berterusan dihadapi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekarang, sebenarnya adalah peluang untuk pasukan itu menunjukkan kewibawaannya kepada rakyat dan negara ini.
Justeru, Panglima TLDM, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain, mahu semua warga pasukan itu menggunakan pendekatan yang lebih inovatif untuk berdepan dengan perubahan dan cabaran tersebut dan memastikan setiap tindakan selari dengan visi angkatan bersenjata itu.
“Cabaran ini bukanlah halangan, malah peluang untuk kita menunjukkan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia bahawa TLDM adalah ‘robust’ (teguh) dan fleksibel iaitu mampu mengadaptasi dan menghadapi pelbagai situasi dan keadaan dari semasa ke semasa.
“Mari kita ubah pelbagai cabaran ini menjadi peluang,” jelasnya ketika berucap sempena Perbarisan Ulung Panglima TLDM Ke-19 di Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
Perbarisan melibatkan 554 anggota TLDM diketuai Komander Muammar Ghadaffi Yaakub itu diadakan di Dewan Senaman KD Pelandok, berikutan hujan lebat, manakala acara Lintas Hormat pesawat terpaksa dibatalkan.
Menurut Zulhelmy, walaupun cabaran itu berubah seiring dengan peredaran masa, tanggungjawab dan misi pasukan itu kekal sejak penubuhan TLDM pada 1934.
Beliau juga telah menggariskan empat teras utama dalam memacu hala tuju TLDM didahului dengan usaha memastikan kesiagaan Armada sebagai fokus utama.
“Inisiatif-inisiatif ini dirangka mengikut perspektif saya dengan turut mengambil kira keadaan semasa. Pada hemat saya, inisiatif ini relevan kerana mencakupi pelbagai aspek,” jelasnya lagi. – KOSMO! ONLINE