ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenal pasti mekanisme menangani penyeludupan minyak masak bersubsidi terutama ke Thailand dengan memperkenalkan nombor kelompok pada peket.
Timbalan Menterinya, Dr Fuziah Salleh berkata, usaha itu susulan aduan orang ramai berkaitan minyak masak bersubsidi yang ditemukan di luar sempadan negara ini.
“Jadi kita juga ada melihat kepada beberapa mekanisme yang mungkin akan disarankan untuk diguna pakai. Contohnya dengan menggunakan nombor kelompok pada setiap peket minyak masak supaya kita boleh jejak pesalahnya. Kalau yang tiris itu dari peruncit mana, pemborong mana, jadi ini akan membantu.
“Ia belum dilaksana tapi sudah ada syarikat-syarikat yang menggunakan cara ini. Mungkin kita mengambil sebagai amalan terbaik dan kita akan kaji lebih mendalam. Mungkin ini merupakan satu jalan penyelesaian sebab selalu rakyat beritahu mereka susah hati tengok kita punya minyak masak dekat Siam, jadi kita pun susah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas turun padang ke program Kita Gempur Zon Utara di Pantai Johor, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan ketirisan barang bersubsidi termasuk penyeludupan ke luar negara sukar dibanteras termasuk menjejaki dan mengenal pasti dalang utamanya.
Dalam perkembangan lain berkaitan program tersebut, beliau berkata, KPDN Kedah berjaya membongkar penyelewengan dua kilang memproses ayam di bandar raya ini yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG) bagi menjalankan perniagaan mereka. – KOSMO! ONLINE