SEPANG – Jumlah penerimaan hujan di kawasan sempadan antara Malaysia dan Thailand dijangka berlaku peningkatan antara 20 hingga 40 peratus pada November hingga Disember ini susulan fenomena Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarah Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, perkara itu berdasarkan majoriti model cuaca di kawasan tersebut.
“Akan berlaku hujan lebih sedikit antara 20 ke 40 peratus. Begitu juga di Sabah yang mana lebih panjang sampai bulan Februari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Pulau Meranti di Puchong dekat sini, hari ini.
Mohd. Hisham berkata, setakat seminggu ini ramalan cuaca adalah sederhana dan dijangka keadaan lembap untuk beberapa hari terutama di negeri Pantai Timur dan utara.
“Kita tengok ada pergerakan angin yang membawa kelembapan tinggi. Jadi bila kelembapan tinggi, kita tahulah akan berlaku hujan.
“Negeri-negeri tersebut akan lembap beberapa hari, tapi hujan lebat monsun yang kita biasa terima ketika MTL, tak nampak lagi untuk seminggu ke depan,” katanya.
Dari segi ombak pula, Beliau berkata, larangan turun ke laut terutama bagi nelayan bergantung kepada pihak berkuasa, manakala MetMalaysia hanya memberi nasihat.
“Dalam keadaan sekarang ini, angin timur laut belum lagi bertiup kencang. Keadaan ombak tak berbahaya lagi untuk aktiviti laut dan dari masa ke masa kita akan kemas kini maklumat.
“Untuk seminggu ke hadapan juga, setakat ini tidak nampak ada angin timur laut kuat yang akan menyebabkan ombak besar atau hujan lebat,” katanya.
Ujarnya, kemuncak MTL lazimnya berlaku pada penghujung November sehingga awal Januari.
“Maknanya Disember itu boleh dikatakan semua negeri di Pantai Timur termasuk Sabah dan Sarawak akan menerima hujan yang banyak,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, MetMalaysia mengeluarkan amaran permulaan fasa MTL bermula 5 November yang diramal berterusan hingga Mac tahun hadapan. – KOSMO! ONLINE