MANILA – Sebuah hotel yang mempunyai bentuk menyerupai seekor ayam jantan gergasi dibina di bandar Talisay, Tanah Tinggi Campuestohan, Filipina, lapor portal berita MSNews hari ini.
Bangunan setinggi 34 meter, 12 meter lebar dan panjang 28 meter itu mencatat rekod dunia struktur ayam jantan terbesar.
Hotel tersebut mempunyai 15 bilik berhawa dingin dilengkapi televisyen, pancuran mandian air panas dan katil besar selesa sesuai untuk tetamu berkumpulan atau keluarga.
Ciri tambahan hotel itu termasuk kolam ombak, pilihan tempat makan yang selesa, tiga kolam renang dan beratus-ratus patung dinosaur serta kartun lain, demikian menurut akhbar Filipina, Philstar.
Bilik untuk empat orang berharga 4,500 peso (RM338) untuk penginapan satu malam, manakala bilik yang boleh memuatkan tujuh orang berharga 7,000 peso (RM526) semalam.
Menurut pemilik hotel, Ricardo Cano Gwapo Tan, dia mendapat inspirasi daripada aktiviti sabung ayam yang menjadi sumber pekerjaan besar di Filipina untuk membina bangunan tersebut.
Hotel itu mengambil masa 456 hari untuk disiapkan dengan kerja pembinaan tamat pada 8 September tahun ini. – AGENSI