fbpx

Konsert boleh bantu, hoki saja tak cukup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA penonton hadir menyaksikan Konsert Jiwa Malaysia diadakan di Stadium Hoki Nasional pada September lalu. - AMIR KHALID

STADIUM Hoki Nasional, Bukit Jalil kini tidak lagi terhad untuk aktiviti sukan sahaja apabila ia sudah pun menerima 26 tempahan bagi penganjuran konsert yang dijadualkan berlangsung sepanjang tahun depan.

Meskipun ia dijangka mengundang pelbagai reaksi, namun sekurang-kurangnya penganjuran konsert itu mampu dijadikan salah satu alternatif menjana pendapatan bagi menyelenggara fasiliti stadium.

Bekas Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Profesor Datuk Dr. S. Shamala berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai keadaan padang memandangkan turf hoki berbeza jika dibandingkan dengan bola sepak.

Beliau menganggap keputusan untuk menganjurkan konsert di stadium hoki sudah difikirkan sebaik-baiknya kerana kos bagi mengendalikan stadium sebesar itu tidak memadai jika hanya bergantung pada aktiviti sukan.

“Untuk menjaga stadium hoki memang memerlukan duit yang banyak, terutamanya bagi menambah baik fasiliti. Jadi, kita tidak boleh salahkan menteri sekiranya stadium dibuka untuk penganjuran konsert.

“Zaman teknologi sekarang, mungkin sudah ada langkah-langkah yang boleh digunakan supaya permukaan padang tiruan (turf) tidak rosak. Antara rasional penganjuran konsert adalah kita tidak mampu tampung (kos) melalui sukan hoki sahaja.

“Stadium sekarang sudah mula usang, jadi nak baiki perlu ada duit. Ini adalah salah satu cara mereka dapat menjana duit untuk kebaikan hoki, jadi kita berikan mereka peluang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan pada Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa Stadium Hoki Nasional sudah menerima 26 tempahan untuk penganjuran konsert pada tahun depan.

Sebagai rekod, hasil sewaan venue di Kuala Lumpur Sports City (KLSC) sehingga Oktober 2024 berjumlah RM10.647 juta dengan RM8.5 juta melibatkan 54 penganjuran aktiviti bukan sukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI