GEORGE TOWN – Jenazah dua beranak yang maut ditikam dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 7.20 malam tadi.
Jenazah Siti Zulaila, 30, dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62, dituntut oleh ahli keluarga selepas selesai menjalani proses bedah siasat yang dijalankan sejak pagi tadi.
Difahamkan, jenazah kedua-dua mereka akan disolatkan di Masjid Tuan Guru, di Tanjong Tokong dan kemudian dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Kariah Tanjong Tokong selepas solat isyak hari ini.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 12.54 tengah hari semalam, seorang bapa dan anak perempuan masing-masing berumur 62 tahun dan 30 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditikam suspek menggunakan sebilah pisau.
Suspek kemudiannya bertindak mengelar dan menikam dirinya sendiri beberapa kali selepas membunuh dua beranak tersebut. – KOSMO! ONLINE