IPOH – Jantung pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie telah berhenti berdegup sebelum bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sempat diberikan terhadap mangsa di lokasi pelanggaran.
Menurut saksi pendakwaan kelapan, Penolong Pegawai Perubatan, Mohammad Noor Shazree Shahrun Nizam, 31, pada ketika itu, mangsa yang berusia 17 tahun juga tidak menunjukkan sebarang tanda masih lagi bernyawa.
Jelasnya, dia memberikan bantuan CPR kepada mangsa selama 15 minit sebaik tiba di lokasi kejadian pada pukul 12.15 tengah hari, 15 Disember 2023.
“Semasa saya melakukan CPR, jantung (mangsa) memang telah berhenti dan kita bantu dari luaran (menekan dada),” katanya yang bertugas di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Tambahnya, sebelum dia tiba di lokasi, prosedur rawatan kecemasan sama sedang dilakukan oleh seorang individu dipercayai kakak mangsa dan Mohammad Noor Shazree kemudian menyambung proses tersebut.
“Mangsa didapati tidak mempunyai sebarang tanda masih bernyawa iaitu tiada nadi, tiada pelebaran pada anak mata dan tiada pernafasan. Saya juga mendapati mangsa mempunyai kesan darah pada muka dan tangan.
“Disebabkan mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas, saya telah membuat pengesahan bahawa mangsa telah meninggal dunia pada pukul 12.32 tengah hari,” katanya ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.
Menjawab pertanyaan mengapa mangsa tidak terus dimasukkan ke dalam ambulans dan dibawa ke hospital dalam kadar segera, Mohammad Noor Shazree berkata, pada ketika itu dia tidak mengetahui tahap kecederaan yang dialami mangsa.
“Keadaan pesakit ketika itu tiada tanda-tanda masih bernyawa dan kita cuba meneruskan CPR selama 15 minit kerana kita tidak mengetahui kecederaan yang berlaku pada mangsa,” katanya
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan turut disertai Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin Hui manakala pihak pembelaan dibarisi peguam-peguam bela, M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet bersambung Isnin depan. – KOSMO! ONLINE