PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang hampir di seluruh negara, petang ini.
Menurut MetMalaysia, amaran cuaca buruk sehingga pukul 6 petang itu antaranya melibatkan seluruh kawasan di Pulau Pinang dan Labuan.
“Amaran ribut petir juga melibatkan Langkawi, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah, manakala di Perak melibatkan Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar.
“Bagi Kelantan pula, amaran ribut petir melibatkan Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang, manakala di Pahang melibatkan Kuantan dan Rompin.
“Keadaan sama juga dilaporkan berlaku di Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor, selain Kuching (Kuching), Sibu, Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Song), Bintulu (Tatau), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang di Sarawak,” katanya.
Sementara itu turut terlibat, Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Kunak dan Lahad Datu), Sandakan (Tongod, Kinabatangan dan Sandakan) dan Kudat di Sabah.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter sejam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE