KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Aepul Roza mendedahkan lagu yang dibikin untuk pempengaruh sensasi, Cik Epal hampir siap dan bakal dilancarkan pada bulan ini juga.
Sungguhpun begitu, lagu tersebut tidak akan menjadi single terbaharu Drama Band, sebaliknya bakal dinyanyikan oleh Cik Epal sendiri.
Lagu sudah 50 peratus siap dan akan diselesaikan serta dilancarkan pada bulan ini juga. Semasa Cik Epal meminta saya buatkan lagu untuknya, saya setuju tetapi beritahu bukan sayalah yang akan menyanyi.
“Sebabnya saya sudah ada banyak lagu yang begitu. Dia ada kebolehan menyanyi dan kalau saya masuk pun mungkin akan nyanyi sedikit sahaja dalam lagu itu,” tutur Aepul.
Aepul dan Drama Band sememangnya cukup terkenal dengan lagu yang mempunyai lirik sinikal. Justeru lagu yang dicipta untuk Cik Epal juga berdasarkan kisah benar kehidupan wanita itu.
“Kalau ikut pengalaman, saya akan menulis tentang kisah benar. Karya yang jujur cepat sampai ke hati. Cik Epal tidak meletakkan sebarang syarat cuma dia ada memberi rujukan.
“Mungkin jalan cerita tentang kebangkitan wanita dan sudah pasti ada usik-usik sedikit dalam lagu. Tetapi dalam lagu saya tidak buat terlalu keras dan terus-terang sebaliknya, perlu berkias-kias dan menjaga bahasa,” kongsi Aepul.
Ditebak apakah yang membuatkan bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan Cik Epal, walhal banyak lagi kisah panas yang sedang berlaku saban hari.
“Saya suka eksperimen itu, kadang-kala sebagai penulis lagu saya mencari cerita berbeza untuk dibawakan dalam lagu. Dalam kes Cik Epal, saya suka ‘point of view’ yang diberikan.
Ini penting supaya saya tidak terbendung dalam tema cinta semata-mata dan menjadikan kreativiti dalam penulisan lagu lebih berkembang,” ujar Aepul.
Sungguh begitu jelas Aepul, bukan semua kontroversi yang berlaku harus dijadikan lagu, sebaliknya Aepul dan Drama Band bersikap cukup selektif dalam penghasilan sesebuah karya.
“Tidaklah semua yang ‘approach’ atau semua kontroversi harus dijadikan lagu. Cuma apabila menghasilkan sebuah karya saya selalu fikir apa manfaat yang diterima oleh pendengar.
Tidaklah semua isu harus buat lagu, saya tidak kejarkan sampai begitu. Paling penting lagu sedap dan menjadi hak milik masyarakat,” kata Aepul yang ditemui pada majlis sidang media Konsert One Love Music 2024 baru-baru ini.
Baru-baru ini nama Cik Epal menjadi bualan netizen berikutan kontroversi rumah tangganya bersama bekas suami, Jofliam.
Dalam pada itu, Aepul bersama Drama Band antara artis yang bakal membuat persembahan di Konsert One Love Music 2024 di Maeps, Serdang, Selangor pada 21 Disember depan.
Selain Drama Band, artis lain yang akan menjayakan konsert berkenaan adalah, Kugiran Masdo, Hujan, Bunkface, Gerhana Ska Cinta, Insomniacks dan 53 Universe.
Turut menjayakan konsert adalah artis dari Indonesia, iaitu, Feby Putri, Nadin Amzah, Nabila Taqiyyah dan Salma Salsabil.