KUALA LUMPUR – Seorang pelajar senior Universiti Pertahanan Awam Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pegawai kadet junior universiti itu dengan menggunakan seterika wap panas bulan lalu.
Tertuduh Amirul Iskandar Norhanizan, 22, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Egusra Ali.
“Saya mengaku tidak bersalah,” kata Amirul Iskandar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Salman Mohd. Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap yang panas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di blok Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, Kem Sungai Besi di sini pukul 11.45 malam pada 22 Oktober lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana – mana dua daripada hukuman itu.
Semasa prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sabri Othman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang menganggu saksi-saksi pendakwaan.
Tarikh 27 Disember ini ditetapkan sebutan semula kes.
Semalam Kosmo! melaporkan suspek buli dan dera seorang pegawai kadet UPNM akan dituduh di mahkamah hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan mangsa ditekap seterika pada bahagian dada selepas diminta menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan 22 Oktober lalu.
Rakaman percakapan mangsa berusia 20 tahun itu telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan mangsa juga diminta untuk membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaannya.
Sebelum itu, polis turut merampas seterika yang juga barang kes digunakan dalam kes buli dan mencederakan pelajar terbabit pada 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan lanjut turut dilakukan dengan merakam keterangan seramai 16 individu setakat hari ini.
“Antara 16 orang yang dirakam keterangan adalah pengadu, suspek, pegawai kadet , kakitangan, jurulatih dan pegawai perubatan,” katanya.
Sebelum ini, Angkatan Tentera (ATM) menjalankan siasatan berkait kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM Sungai Besi yang disyaki dibuli dan didera oleh seorang penuntut senior. – KOSMO! ONLINE