GEORGE TOWN – Proses bedah siasat jenazah dua beranak yang maut ditikam seorang lelaki di hadapan lif sebuah pangsapuri di Farlim, Ayer Itam semalam akan dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi ini.
Ketika ini, beberapa ahli keluarga mangsa dilihat berada di Unit Forensik HPP bagi menunggu proses tersebut selesai dan membawa pulang jenazah.
Difahamkan, permohonan reman terhadap suspek berusia 32 tahun juga akan dilakukan di HPP pada pukul 10.30 pagi.
Sumber berkata, suspek kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.
Semalam, Kosmo! melaporkan suspek lelaki yang menikam dua beranak hingga maut dipercayai akibat berang cintanya tidak berbalas dilaporkan telah bertindak mengelar lehernya sendiri selepas kejadian berlaku.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.54 tengah hari tadi, suspek yang merupakan pekerja kilang itu diberkas berhampiran lokasi wanita dan bapanya ditemui terbaring di hadapan lif sebuah pangsapuri di Ayer Itam.
Difahamkan, sebelum itu telah berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa sebelum berakhir dengan tragedi yang lebih parah.
Justeru, kecekapan dan tindakan pantas pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) telah berjaya menyelesaikan kes bunuh tersebut dalam masa singkat.-KOSMO! ONLINE