PETALING JAYA – Konvoi pertama Malaysian Battalion 850-12 (Malbatt 850-12) terlibat dalam kejadian letupan di Beirut kelmarin telah selamat tiba di Kem Marakah, hari sama pada pukul 5.30 petang waktu Lebanon (11.30 malam waktu Malaysia) bersama lima daripada enam anggota yang mengalami kecederaan ringan.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui satu kenyataan berkata, salah seorang anggota yang menerima rawatan di Hospital Hamood juga telah dibenarkan keluar pada hari ini, pukul 12.01 pagi waktu Lebanon (6.01 pagi waktu Malaysia) dan kini selamat berada di Kem Marakah bersama anggota lain.
“Rawatan susulan terhadap anggota yang mengalami kecederaan akan diteruskan oleh Pegawai Perubatan Malbatt 850 di Kem Marakah dan akan meneruskan tugasan seperti biasa apabila pulih sepenuhnya.
“Pihak United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) sedang menyiasat kejadian serangan di Lebanese Armed Forces (LAF) Check Point, Stadium Saida yang melibatkan konvoi Malbatt 850-12 tersebut,” jelas kenyataan tersebut, hari ini.
Tambah kenyataan itu, ATM akan meneruskan rancangan pertukaran terup antara Malbatt 850-11 dan Malbatt 850-12 mengikut jadual yang telah dirancangkan oleh pihak UNIFIL.
“Perkara tersebut turut dilaksanakan oleh beberapa negara yang menghantar terup pengaman ke UNIFIL, yang terlibat dalam rancangan pertukaran terup pada bulan ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kumpulan kedua Malbatt 850-12 dijangka akan berlepas pada 10 November 2024 berkekuatan seramai 219 orang,” jelas kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, terup Malbatt 850-12 yang masih berada di Malaysia tetap menjalankan tugas seperti biasa dan sedang melakukan persiapan akhir sebelum diatur gerakkan ke Lubnan dengan mempamerkan moral serta semangat juang tinggi.
“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan terus memantau secara rapi melalui Markas Angkatan Bersama (MKAB) berkenaan perkembangan insiden tersebut.
“Maklumat terkini akan dimaklumkan kepada umum dari masa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE.