fbpx

‘Apa salah orang Kelantan sehingga sentiasa dihina’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENGENTENGAHKAN budaya dan dialek Kelantan, niat Denni$ hanya ingin memecahkan stereotaip menerusi lagu berkenaan.

BAGAI cendawan tumbuh selepas hujan, begitulah gambaran lambakan kehadiran penyanyi baharu dalam industri muzik tanah air ketika ini.

Situasi sebegitu baik, namun dalam masa sama, agak malang jika pendatang baharu itu hanya berbekalkan wajah tidak seiring kualiti bakat dan muzik yang diketengahkan.

Berbeza dengan penyanyi dan komposer muda, Denni$ yang tampil dengan penuh semangat membawa warna budaya negeri kelahirannya, Kelantan ke pentas muzik arus perdana.

Dengan penuh bangga, jejaka itu menampilkan pendekatan unik melalui lagu terbaharunya berjudul Apa Salah Aku Kelate (ASAK).

Menariknya, lagu yang menggunakan dialek Kelantan tersebut bukan sahaja mencerminkan budaya lokal bahkan membawa mesej mendalam yang menyentuh isu stereotaip dan identiti negeri tersebut.

DENNI$ berharap Apa Salah Aku Kelate akan diterima baik sekali gus memberi impak bermakna dalam portfolio kerjayanya sebagai pendatang baharu.

Pecah stereotaip

Ujar Denni$ atau nama sebenarnya Koit Jun Leong, inspirasi di sebalik ASAK muncul daripada keinginan menyelami akar budaya Kelantan yang sering dipandang penuh skeptikal sesetengah masyarakat negeri lain.

“Saya ingin menghubungkan diri dengan akar budaya saya dan merayakan budaya Kelantan melalui muzik. Dia­lek tersebut sangat autentik dan dekat dengan saya.

“Karya tersebut sebagai bentuk persoalan kepada masyarakat luar tentang persepsi negatif terhadap orang Kelantan. Tajuk lagu tersebut sangat tepat bagi menggambarkan persoalan yang sudah lama terpendam di hati.

“Lagu itu mencerminkan perjuangan dan identiti sebagai orang Kelantan yang sudah lama ingin bertanya kepada rak­yat negeri lain, apakah salah mereka sebagai orang Pantai Timur sehingga sentiasa dijadikan hinaan?” ujarnya.

Menerusi karya tersebut, Denni$ berharap orang luar dari negeri Che Siti Wan Kembang tidak lagi memandang dan menilai seseorang menerusi asal-usulnya.

Lelaki berusia 24 tahun itu mengakui sudah bersedia sekiranya lagu tersebut menerima respons positif mahupun negatif.

“Saya harap pendengar dapat menilai lebih dalam dan tidak terpengaruh dengan stereotaip yang sering dipaparkan dalam media sosial.

Sebenarnya, kita semua (Kelantan) adalah orang baik.

“Saya ingin bereksprementasi dengan budaya muzik Kelantan yang biasa didengar dengan mengubahnya menjadi konsep moden seperti menyatukan elemen tradisional dan moden seiring ren­tak ip-hop.

“Saya faham ini adalah sebahagian daripada perjalanan sebagai artis baharu.

“Tidak semua orang akan menyukai muzik kita, jadi saya fokus untuk terus berkarya dan akan buat yang terbaik,” tambahnya.

Sebagai seorang penyanyi berbangsa Cina, anak bongsu daripada tiga adik beradik itu percaya, kepelbagaian budaya memberikan perspektif unik dalam muziknya.

Dia cuba meneliti semua elemen tersebut dengan baik semasa proses krea­tif.

“Bukan mudah mahu terapkan elemen budaya, saya kena betul-betul faham apa yang ingin disampaikan supaya orang tidak salah anggap.

“Untuk lirik, saya gunakan loghat yang tidak terlalu pekat supaya mudah difahami dan dinyanyikan bersama.

“Saya bekerjasama dengan Ghazi, rakan artis dari Kelantan untuk sesi rakaman, manakala 714 Studio dan Reframe Studio untuk video muzik,” jelasnya.

Paling penting, Denni$ merancang meneruskan karier muzik dengan mencipta lebih banyak lagu dalam dialek dan bahasa berbeza serta membawa kar­yanya ke peringkat lebih luas, seterusnya menembusi audiens antarabangsa.

Dilancarkan sejak 16 September, ASAK kini boleh dinikmati menerusi semua platform digital. Video muziknya pula boleh dilayari dalam platform YouTube rasmi Denni$.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI