SUNGAI PETANI – Dua lelaki termasuk seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung di Kilometer 22 Jalan Kampung Kubang Sapi dekat Sidam Kiri, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi, mangsa, Muhammad Amyrul Safuan Fadzil, 31, dan Muhammad Hambalee Ishak, 27, pekerja kilang disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku ketika dua mangsa terbabit dalam perjalanan ke tempat kerja masing masing.
“Hasil siasatan awal mendapati, anggota tentera itu datang dari arah Sidam Kiri menghala ke Pinang Tunggal manakala seorang lagi mangsa datang dari arah bertentangan.
“Mereka menunggang di tengah lorong sebelum motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang Muhammad Hambalee dipercayai hilang kawalan lalu bertembung motosikal jenis Yamaha NVX ditunggang anggota tentera,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, rempuhan kuat tersebut mengakibatkan kedua-dua mangsa jatuh di tepi jalan dan maut di lokasi kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE