GEORGE TOWN – Sebanyak dua restoran nasi kandar antara lapan premis makanan yang diarah tutup oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selama 14 hari bermula semalam susulan penemuan najis tikus dan lipas.
Selain itu, pemeriksaan secara mengejut dan rawak itu mendapati terdapat sebuah premis makanan yang tidak menghiraukan aspek kebersihan penyediaan makanan kepada pelanggan dengan memproses serta memotong ikan mentah di atas lantai.
Malah, terdapat premis yang tidak menyelenggara dengan baik peti beku yang menyimpan bahan mentah.
Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang berkata, penutupan premis-premis itu bukan bertujuan untuk menjejaskan perniagaan, tetapi lebih kepada memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Kesemua lapan premis ini telah dikenakan tindakan arahan penutupan serta-merta 14 Hari di bawah Undang-Undang Kecil UUK 38(1) UUK Establisymen Makanan MPPP 1991.
“MBPP tidak akan berkompromi dengan piawaian kebersihan dan telah melaksanakan pemantauan secara berkala serta membuat pemeriksaan secara rutin dan rawak secara mengejut dari semasa ke semasa,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, MBPP bertindak tegas dalam memastikan semua premis-premis makanan di kawasan pentadbiran ini mematuhi tahap piawaian kebersihan yang ditetapkan. -KOSMO! ONLINE