PUTRAJAYA – Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, buat hari ketiga untuk direkod keterangan.
Pasangan suami isteri itu tiba pukul 2.34 petang tadi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam.
Vivy dan suami hadir ke Ibu Pejabat SPRM sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Ia susulan siasatan membabitkan pasangan terbabit berhubung laporan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.
Vivy dan Fadzaruddin antara sembilan individu yang dirakam percakapan susulan pegawai penyiasat menyerbu empat lokasi termasuk sebuah kementerian, baru-baru ini.
Petang semalam, kediaman milik pasangan suami isteri itu di Mont Kiara, Kuala Lumpur digeledah pegawai SPRM.
Penggeledahan berakhir sekitar jam 8 malam semalam dan antara barangan yang disita termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Sebelum ini, turut diserbu SPRM adalah Kementerian Kewangan (MoF), Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB). – KOSMO! ONLINE