fbpx

TUDM kenal pasti titik pendaratan pesawat, hantar bantuan Monsun Timur Laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Asghar Khan ketika sidang akhbar di PU Subang hari ini. FOTO oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

SUBANG – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengenal pasti titik pendaratan pesawat di seluruh negara bagi operasi menyelamat dan penghantaran bantuan ke kawasan yang dijangka berlaku bencana susulan Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Panglima TUDM, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, pasukannya akan terlibat dalam Operasi Murni di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi bencana terutamanya banjir.

“Seperti tahun-tahun lepas, kita sudah bersedia dan telah kenal pasti kawasan yang dilanda pernah dilanda banjir dan semua ‘landing points’ untuk penghantaran bantuan makanan.

“Bagi TUDM, kami sudah mempersiapkan pesawat di Kuantan, Butterworth dan bahagian selatan negara. Bilik operasi akan dioperasikan oleh komander daripada Tentera Darat dan kami akan turut bekerjasama dengan NADMA di setiap negeri untuk melaksanakan tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 16 anggota dan pegawainya yang terlibat dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di Filipina yang bertempat di Pangkalan Udara Subang, di sini, hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan MTL akan bermula pada 5 November (Selasa) dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku sepanjang tempoh itu.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Mohd Hisham Mohd Anip berkata, semasa fasa awal MTL dari November hingga Disember, hujan lebat dijangka melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Pada Januari hingga Februari 2025 pula, negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku hujan lebat ialah di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Mohd Hisham berkata, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Sementara di kawasan utara Semenanjung dijangka mengalami kurang hujan menjelang fasa akhir MTL iaitu Januari hingga Mac 2025. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI