KUALA LUMPUR – Suspek buli dan dera seorang pegawai kadet Universiti Pertahanan Awam Nasional Malaysia (UPNM) akan dituduh di mahkamah pagi esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pertuduhan berkenaan akan dilakukan di Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8 pagi.
“Kes pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan melibatkan kes buli pelajar UPNM,” katanya ringkas pada pemberita hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan mangsa ditekap seterika pada bahagian dada selepas diminta menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan, 22 Oktober lalu.
Rakaman percakapan mangsa berusia 20 tahun itu telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan beliau juga diminta untuk membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaannya.
Seramai 16 individu termasuk suspek dirakam keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Angkatan Tentera (ATM) menjalankan siasatan berkait kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM Sungai Besi yang disyaki dibuli dan didera oleh seorang penuntut senior. – KOSMO! ONLINE