JERANTUT – Dua beranak yang tinggal di Rumah Kos Rendah Peringkat di sini, terpaksa bergantung harap kepada bantuan kerajaan dan ihsan orang ramai untuk meneruskan kehidupan selepas mereka diuji dengan pelbagai masalah kesihatan.
Muhamad Sayyid Azinuddin Mohd Zin, 26, dan ibunya, Rosyati Mohd Noor, 54, juga tidak mampu untuk bekerja apabila kedua-duanya hanya menggunakan kerusi roda.
Muhamad Sayyid patah tulang pinggul dan tulang rusuk akibat kemalangan jalan raya, manakala Rosyati pula menderita komplikasi penyakit darah tinggi, kencing manis, strok dan sawan.
Muhamad Sayyid berkata, kemalangan motosikal yang menimpanya berlaku di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah agensi pelancongan di ibu negara pada 2 April lalu.
“Pegawai perubatan mengesahkan kulit kepala saya terkoyak, patah tulang pinggul, tulang rusuk patah lapan, manakala sebatang tulang rusuk yang patah tertusuk ke bahagian paru-paru,” katanya.
Menurutnya, akibat patah tulang pinggul, dia tidak boleh berjalan dan memerlukan rawatan untuk menggantikan besi di pinggang supaya mampu berdiri.
Muhamad Sayyid yang masih bujang berkata, dia kerap berulang-alik ke HKL untuk menerima rawatan menyebabkannya tidak mampu bekerja.
“Apa yang saya bimbangkan adalah kesihatan ibu yang menghidap pelbagai jenis penyakit sejak 2022 seperti penyakit darah tinggi, kencing manis, angin ahmar, fibroid dan sawan.
“Ibu pernah mencarum ketika bekerja dulu telah dibantu oleh Perkeso dengan kemudahan menjalani rawatan fisioterapi penyakit angin ahmar, namun keadaannya tidak berubah dan penglihatannya semakin terjejas,” katanya.
Jelas beliau, ibunya juga merupakan penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 berasaskan pemegang Kad OKU selain barang keperluan dapur dari Majlis Ugama Islam dan Adab Resam Pahang (Muip).
“Kami masih mengharapkan ada pihak yang dapat membantu terutamanya dalam urusan rawatan kami berdua,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Muhamad Sayyid Azinuddin menerusi talian 010 9083447 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank CIMB bernombor 7618708374 (Muhamad Sayyid Azinuddin).