fbpx

RM1.87 juta bayaran saman dilunaskan dalam tempoh dua hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Yusri ketika melakukan lawatan di Balai Polis Trafik Tun H S Lee, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Lebih RM1.87 juta kutipan saman berjaya diperoleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sempena tawaran diskaun 50 peratus sejak kelmarin.

Tawaran diskaun 50 peratus yang bermula Selasa lalu hingga Sabtu ini berlangsung di Balai Polis Trafik Tun H.S Lee.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata dalam tempoh berkenaan, sebanyak 17,002 saman diselesaikan membabitkan keseluruhan kutipan RM1,878,620.

Katanya, sejumlah RM270,850 bayaran saman diselesaikan melalui bayaran tunai, e-bayaran (RM882,340), manakala bayaran menggunakan kupon 50 peratus mencatat kutipan RM725,430.

“Pada hari pertama (Selasa), sebanyak RM841,390 bayaran saman berjaya dikutip untuk bayaran 7,677 saman dan pada hari kedua semalam, jumlah kutipan saman meningkat kepada RM1.037 juta untuk bayaran 9,325 saman.

“Dianggarkan seramai 3,100 orang awam hadir ke kaunter saman yang disediakan di pejabat JSPT Kuala Lumpur dalam tempoh dua hari ini,” katanya selepas melakukan lawatan di Balai Polis Trafik Tun H S Lee di sini, pagi tadi.

Tambah Mohd Yusri, pihak JSPT Kuala Lumpur menyediakan enam khemah serta membuka 19 kaunter semakan, pinda dan bayaran saman termasuk menyediakan 14 mesin e-bayaran sepanjang diskaun itu berlangsung.

Jelas beliau, khemah turut menempatkan kaunter MyBayaran Saman, tiga kaunter untuk kemudahan orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan ibu mengandung serta 350 kerusi menunggu.

“Tawaran diskaun tidak termasuk bagi kes saman kemalangan, saman bicara mahkamah, kategori tidak boleh kompaun, memotong secara berbahaya, kesalahan menggunakan lorong kecemasan dan tidak mematuhi isyarat lampu merah.

“Selain itu, kesalahan berkaitan kenderaan berat, pengubahsuaian ekzos, saman berstatus Op Selamat dan kesalahan memotong di garisan berkembar turut tidak termasuk dalam tawaran,” katanya.

Menurut beliau, pengurangan saman membantu mengurangkan beban kewangan sambil mendidik masyarakat untuk patuh pada peraturan jalan raya.

“Bayarlah saman tepat pada waktunya demi kelancaran urusan dan terhindar dari hukuman yang lebih berat. Jangan biarkan hutang bertambah.

“Kepatuhan kita membayar saman menunjukkan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya. Disiplin ini membantu menciptakan lalu lintas yang aman bagi semua,” katanya.

Kata beliau, menjelaskan saman tepat pada waktunya dapat menghindarkan orang ramai dikenakan denda tambahan atau dikenakan tindakan lebih tegas.

Dalam pada itu, katanya statistik Polis Kuala Lumpur menunjukkan sebanyak 881,211 saman didaftarkan sepanjang tahun ini dengan kesalahan halangan lalulintas merekod jumlah saman tertinggi dengan 97,806 saman, mengabai isyarat lalu lintas (45,803) dan tiada lesen memandu (17,405).-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI