KOTA BHARU – Seorang remaja perempuan ditemui lemas selepas motosikal yang dia tunggang terjatuh ke dalam tali air semasa dalam perjalanan ke sebuah kedai di Kampung Pangkal Pisang, Peringat di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, motosikal jenis Yamaha Ego ditunggang Ainul Mardhiah Azeman, 14, dijumpai berada di dalam tali air dengan enjin masih hidup dan lampu menyala.
Abang mangsa, Ahmad Azizi, 24, memberitahu, bapanya, Azeman Harun, 57, bergegas ke tali air itu selepas dihubungi oleh penduduk kampung yang melihat motosikal itu di dalam tali air, namun penunggangnya tiada.
Menurutnya, bapa yang pergi ke lokasi kejadian terus masuk ke dalam tali air sedalam satu meter sebelum cuba mengangkat motosikal tersebut, namun gagal.
“Ayah mengajak beberapa penduduk kampung untuk membantunya mengangkat motosikal itu sebelum menjumpai adik di bawah motosikal berkenaan dengan keadaan sudah tidak sedarkan diri.
“Ainul Mardhiah terus dibawa menaiki kereta untuk ke klinik dan ayah sempat membuat rawatan bantuan pernafasan kepadanya. Adik bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa tiba Klinik Kesihatan Peringat,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Pangkal Pisang, Peringat di sini hari ini.
Ahmad Azizi berkata, mayat adiknya dihantar ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE