fbpx

Pewarna daripada kulit bawang, sayuran terbuang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMMI menghasilkan pewarna daripada sisa buangan seperti kulit bawang, sayuran dan lain-lain. - Foto IQBAL ROSLI

PADA awalnya, wanita itu menjadikan seni sebagai hobi dengan menyertai bengkel berkaitan cabang itu pada masa lapang.

Namun, selepas menyertai sebuah bengkel di Kuala Lumpur, dia mula berkenalan dengan seorang mentor yang mendedahkannya tentang cara baharu untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar menerusi seni.

Kongsi bekas jurutera, Nurhalina Muhammad Termidzi, 37, perkara itu merupakan titik tengah kepada pengetahuannya berkaitan kelestarian alam dan dunia seni yang diminati sejak kecil.

“Dari dulu lagi saya memang meminati seni kreatif dalam pelbagai bentuk. Sebab itu semasa bekerja sebagai jurutera, saya kerap ke bengkel seni sebagai terapi stres.

“Apabila mendengar perkongsian daripada seorang guru bengkel tentang bagaimana melestarikan alam sekitar melalui seni, saya amat tertarik.

“Hal ini amat menarik memandangkan ia menjadikan bahan buangan sebagai sumber utama,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambah Nurhalina, pendekatan yang diperkenalkan oleh mentor tersebut adalah dengan menghasilkan warna daripada sisa buangan yang dikenali sebagai warna alam atau alami.

Kongsinya lagi, hal itu menarik perhatiannya kerana semasa bekerja sebagai jurutera, dia juga terlibat dalam projek berkaitan kelestarian iaitu menghasilkan tenaga daripada bahan buangan.

Disebabkan pengetahuan tersebut, dia turut serta dalam projek yang dijalankan oleh guru bengkelnya, Ummi Kalthum Junid, 38, di Kuala Lumpur Color District (KLCD).

Ia bagi membolehkannya meneroka potensi sampah tempatan dalam menghasilkan warna alami.

“Projek ini merupakan antara langkah awal dalam usaha meneroka dan mendidik orang ramai tentang cara baharu menyumbang kepada kelestarian alam dengan memanfaatkan sampah.

“Kami memfokuskan kawasan di Chow Kit (Kuala Lumpur). Ramai yang awalnya skeptikal, tetapi akhirnya kagum melihat hasil warna celup yang dihasilkan daripada bahan buangan yang kami kutip,” ujarnya.

Penghasilan warna daripada bahan buangan merupakan cabang pembuatan warna alami atau semula jadi yang merujuk kepada pigmen serta pewarna daripada sumber semula jadi seperti tumbuhan, mineral dan haiwan.

Warna-warna semula jadi telah digunakan oleh manusia selama beribu-ribu tahun dalam pelbagai aplikasi termasuk seni, pakaian dan makanan.

UMMI menunjukkan warna-warna alami yang dihasilkan daripada sisa buangan.

Penggunaan warna semula jadi telah mendapat minat baharu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila orang ramai semakin sedar tentang kesan pewarna sintetik terhadap alam sekitar dan kesihatan mereka.

Warna semula jadi bukan sahaja mampan, tetapi ia juga menawarkan hasil unik yang tidak boleh dihasilkan dengan cara tiruan.

Penghasilan warna semula jadi turut menarik minat Ummi Kalthum semasa explorasinya mempelajari seni batik di beberapa negara sekitar tahun 2014 hingga 2018.

Dia yang merupakan pengasas kepada Dunia Motif berkata, dia melihat ada negara seperti Indonesia yang masih mewarnakan batik mereka dengan pewarna semula jadi.

Hal itu menarik minatnya untuk mempelajari teknik berkenaan, sebelum mengilhamkan satu inisiatif kelestarian.

“Ilham untuk menghasilkan warna daripada sumber bahan terbuang berawal ketika perintah kuarantin ekoran pandemik Covid-19 dilaksanakan.

“Ketika itu, saya sedang melanjutkan pelajaran di Britain. Di sana, saya menyedari banyak sisa buangan dapur yang dihasilkan seperti kulit bawang, sayuran serta lain-lain.

“Daripada pengetahuan berkaitan penghasilan warna semula jadi, saya tertarik untuk cuba menghasilkan warna daripada bahan tersebut.

“Ia telah membuahkan hasil dan menjadi antara projek saya sehingga kini,” kongsinya.

Ada bahan perlu dipecahkan untuk mendapatkan pigmen warna.

Katanya lagi, projek itu dikembangkan kepada penghasilan pelbagai warna daripada beberapa bahan masakan.

Ini menjadi antara gerakan utama Ummi Kalthum apabila mendapat Global Talent Visa di Britain dengan memfokuskan kepada seni dan penghasilan warna daripada bahan buangan.

Jelasnya, dia telah melaksanakan pelbagai kolaborasi sebagai langkah untuk memberi pendedahan dan pendidikan tentang cara penghasilan warna alami di Britain dan Malaysia menerusi KLCD, Waste Not, Trash/Treasure dan lain-lain.

Berkongsi tentang cara penghasilan warna daripada sisa buangan, Ummi Kalthum memberitahu, proses bermula dengan merebus bahan terlebih dahulu bagi mengeluarkan pigmen warnanya.

“Setiap bahan mempunyai pigmen warna berbeza. Sebagai contoh, saya menggunakan kulit bawang Bombay atau merah untuk mendapatkan warna alami, namun hasil akhirnya adalah berbeza.

“Oleh itu, jika menggunakan bawang merah, kumpulkan ia terlebih dahulu sekitar 300 gram sebelum dimasukan dalam periuk.

“Selepas itu, masukkan air kemudian rebuskan sekitar sejam sehingga air berubah warna. Kemudian, tapis serta sejukkan semalaman sebelum digunakan untuk mewarna kain,” katanya.

Tambahnya, setiap bahan menghasilkan warna berbeza, tetapi biasanya hasil warna alami adalah lembut atau pastel.

Misalnya, kulit bawang menghasilkan warna kuning dalam pelbagai tona.

Perbezaan tona warna bergantung kepada jumlah bahan yang digunakan, campuran bahan sampingan seperti tawas, jenis kain dan kekerapan pewarnaan dilakukan.

Kongsinya lagi, proses tersebut menonjolkan salah satu tarikan terhadap kemahiran yang boleh dilakukan di rumah.

“Usaha ini mampu mendidik cara melestarikan alam dengan menggunakan bahan sedia ada pada skala kecil,” terangnya.

Namun begitu, masih belum ada jumlah sukatan bahan yang tetap untuk menghasilkan sesuatu warna.

Malah, ada rona alami mempunyai warna unik yang tidak boleh dihasilkan dengan cara tiruan.

Berkongsi pandangan tentang potensi penghasilan warna daripada bahan buangan, Ummi Kalthum memberitahu, perjalanan membudayakan konsep tersebut masih jauh khususnya di Malaysia.

Katanya, biarpun konsep tersebut sudah lama wujud, tetapi ia masih baru dalam kalangan masyarakat Malaysia dan tidak ramai yang cakna tentang pengurusan sampah.

“Dalam fasa ini, apa yang saya tumpukan adalah pendedahan dan pendidikan untuk orang ramai faham tentang konsep lestari dengan memanfaatkan benda di sekeliling mereka sekali gus menjadikan ia budaya di rumah.

“Pembuatan warna ini adalah salah satu aktiviti yang boleh diterapkan kerana ia membuka peluang baharu kepada rakyat. Jadi, orang ramai boleh menghasilkan produk sendiri, sekali gus membantu mengurangkan kadar pembuangan sampah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI