KOTA BHARU – Seorang peniaga ikan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan amang seksual fizikal dan merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Aidid Asyraf Roslin, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun kira-kira pukul 1.15 tengah hari pada 21 Mac 2023 dan pukul 7 malam, 26 Jun 2023 di sebuah pondok di kawasan kolam ikan di Mukim Kemasin, Bachok dekat sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, Muhamad Aidid didakwa merogol mangsa sama di dalam sebuah bilik bengkel motosikal di Perupok, Bachok dekat sini kira-kira pukul 7.30 malam pada September 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Faiz mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain menetapkan 4 Disember depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE