SUNGAI BULOH – Seorang pekerja bengkel melecur di kepala dan tangan dalam kebakaran dua bengkel besi dan bengkel kitar semula di Jalan Welfare Kampung Baru Sungai buloh, di sini, tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.48 tengah hari.
“Seramai 33 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, BBP Damansara, BBP Petaling Jaya, BBP Bukit Jelutong dan BBP Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati kebakaran membabitkan dua bengkel yang terbakar 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seorang pekerja bengkel iaitu lelaki berusia 40-an melecur di kepala dan tangan dalam insiden itu. -KOSMO! ONLINE.