fbpx

K2

Pandangan mukbang dalam Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUKBANG semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. - Gambar hiasan

Saya ingin bertanyakan soalan, adakah makan secara mukbang dibenarkan dalam Islam?

Jawapan: Mukbang merupakan gabungan daripada dua perkataan bahasa Korea iaitu meongneun yang bermaksud makan dan bangsong bermaksud penyiaran.

Secara istilahnya pula, ia merupakan suatu siaran langsung dalam talian di mana pengacara memakan makanan pelbagai jenis sambil berinteraksi dengan para penonton. Fenomena ini mula terkenal serata Korea Selatan pada tahun 2010.

Jika dilihat, secara kebiasaannya, video-video mukbang ini dihasilkan bagi tujuan meraih keuntungan dan populariti, malah ada juga sesetengah individu yang menjadikannya sebagai lubuk kerjaya.

Mereka menjana pendapatan daripadanya melalui upah pengiklanan, mendapat tajaan daripada pihak luar, membuat perakuan dan pengesyoran terhadap sesuatu produk makanan, di samping sokongan dan dukungan daripada penonton.

Pada dasarnya, tidak ada larangan khusus terhadap perbuatan tontonan aktiviti makan atau mukbang ini di dalam Islam. Hal ini kerana, kaedah Fiqh menyebut, asal pada sesuatu perkara adalah harus.

Al-Sa‘di menyebut setiap sesuatu perkara itu adalah harus selagi mana tiada sebarang dalil atau sesuatu yang menunjukkan pengharamannya. Maka, aktiviti mukbang ini pada dasarnya adalah harus selagi mana tidak ada apa-apa yang membuatkan ia berubah menjadi haram.

Namun, sekiranya diperhatikan, terdapat segelintir masyarakat yang dilihat melakukan aktiviti ini dengan cara yang bertentangan dengan adab makan dan minum dalam Islam.
Antara yang dapat dinyatakan di sini adalah seperti berikut:

Pertama, memakan makanan yang kotor dan tidak bersih.

Sekiranya diperhatikan, terdapat beberapa individu yang mengadakan siaran mukbang dengan mengambil makanan-makanan yang tidak bersih dan suci demi menaikkan rating videonya. Sedangkan Allah SWT telah berfirman:“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”. (Al-Baqarah, 2:168)

Kedua, kenyang yang berlebihan. Terdapat juga sebahagian pelaku video mukbang mengambil jumlah makanan atau minuman dengan kuantiti yang sangat banyak, sehinggakan melebihi kadar keperluan dirinya.
Ketiga, berlakunya pembaziran.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Al-Isra’, 17:26-27)

Keempat, makan dengan gelojoh.Perbuatan makan dengan cepat atau gelojoh ini sering dilihat dilakukan oleh kebanyakan pelaku video mukbang atas sebab mengejar masa atau menyahut cabaran yang diberi oleh para penonton.

Walhal, perbuatan ini amatlah tidak baik dan mesti dihindari oleh kerana boleh mendatangkan pelbagai risiko pada tubuh badan seperti penyakit jantung, strok, diabetes dan lain-lain.
Oleh yang demikian, perlunya kita kembali kepada apa yang diajar oleh syariat, yakni penjagaan adab ketika makan dan minum.

Kesimpulannya dapat kita rangkumkan di sini, hukum mukbang adalah harus selagi mana tiada dalil yang menunjukkan pengharamannya, namun perlulah ia dilakukan dengan cara mengikuti adab makan dan minum yang digariskan dalam Islam.
Antaranya, makan makanan yang halal lagi baik, tidak makan secara berlebihan sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran, tidak pula makan dengan gelojoh atau tergesa-gesa, di samping makan menggunakan tangan kanan.

Bukan itu sahaja, terdapat banyak lagi adab-adab yang ditunjukkan melalui sunah Nabi SAW seperti memulakan makan dan minum dengan ucapan basmalah dan sebagainya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI