PUTRAJAYA – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan terdapat beberapa transaksi mencurigakan dalam kes kerugian dialami Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dalam pelaburan FashionValet Sdn. Bhd.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, transaksi itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu selepas menganalisa 60 kotak dokumen kewangan yang dirampas daripada Fashion Valet, Khazanah dan PNB.
Beliau berkata, pihaknya akan melihat kepada aliran punca kewangan dan sebab kemasukan serta ke mana wang itu dibelanjakan.
Katanya, ia bagi melihat adakah terdapat unsur jenayah rasuah atau kesalahan lain membabitkan penipuan.
“Namun, kita percaya ada sebahagian pelaburan yang disalah guna dalam hal ini dan ia sedang kenal pasti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam perkembangan sama, Azam mengesahkan pasangan itu tidak akan ditahan buat masa ini kerana kedua-dua mereka memberi kerjasama penuh.
Menurutnya, pihaknya juga sedang menyiasat pemilikan barangan mewah yang pernah ditayangkan pasangan tersebut di media sosial.- KOSMO! ONLINE