fbpx

Menyamar polis sebelum curi motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sasikala menunjukkan motosikal yang disamun suspek menyamar anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA – Menyamar sebagai anggota polis sebelum menahan secara rambang dan menyamun penunggang motosikal.

Demikian taktik sekumpulan penjenayah yang dibongkar susulan tangkapan 10 lelaki pada 20 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, kesemua suspek ditahan susulan satu laporan diterima dua individu yang disamun di tepi Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Restoran Jejantas Sungai Buloh arah selatan.

Katanya, mangsa merupakan lelaki warga tempatan berusia 18 dan 21 tahun yang diekori empat individu sebelum bertindak menahan mereka.

“Suspek kemudian memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan berpura-pura membuat pemeriksaan terhadap kedua-dua mangsa.

“Suspek kemudian bertindak melarikan barangan peribadi dan motosikal mangsa serta meninggalkan mangsa di lokasi kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Tambah beliau, kegiatan suspek yang dipercayai aktif sejak Julai lalu itu dilakukan di beberapa lebuh raya dan jalan utama negeri ini sekitar awal pagi dan menyasarkan individu yang menunggang berseorangan.

Kata Sasikala, siasatan lanjut berhubung kejadian dijalankan sebelum kesemua suspek berusia 18 hingga 21 tahun diberkas di sekitar kawasan Petaling Jaya.

“Semakan mendapati tujuh daripada 10 suspek yang ditahan memiliki 26 rekod jenayah lampau selain dua suspek positif dadah menerusi saringan dijalankan.

“Siasatan mendapati suspek ini bergerak secara berkumpulan selain menakutkan mangsa dengan menyamar sebagai anggota polis sebelum bertindak melakukan samun,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati kesemua suspek ini mempunyai peranan yang tersendiri dan akan mengekori mangsa sebelum melakukan jenayah berkenaan.

“Polis berjaya menyelesaikan sebanyak 10 kes samun sekitar negeri ini dengan tertangkapnya kesemua suspek.

“Kesemua suspek telah diserahkan kepada IPD Sungai Buloh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI