PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) jalinkan kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memulakan ‘Kajian Penilaian Ketersediaan 5G untuk Industri Malaysia’ yang pertama.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan hari ini, inisiatif ini bertujuan menilai tahap kesediaan sektor industri dalam mengadaptasi teknologi 5G serta mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh syarikat dalam mengintegrasikan teknologi canggih ini.
“Ketersediaan perkhidmatan 5G yang meluas akan menyokong industri-industri kritikal, terutamanya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), dalam aspek inovasi, kecekapan, dan daya saing mereka dalam landskap digital yang pantas berkembang,” katanya.
Tambahnya, kajian ini akan berlangsung sehingga 1 Disember 2024, dengan fokus terhadap jurang penerimaan 5G dalam kalangan syarikat yang terlibat di pelbagai sektor.
Sementara itu, MCMC dan MIDA turut menyeru syarikat-syarikat di Malaysia untuk mengambil bahagian dalam kajian ini dengan melayari portal kajian yang disediakan melalui kod QR atau pautan yang disediakan.
“Penyertaan oleh pihak perusahaan adalah penting dalam menyokong inisiatif MCMC dan MIDA untuk memajukan penyebaran teknologi 5G,” ujarnya.
Hasil kajian diharapkan akan memberi gambaran jelas terhadap keperluan infrastruktur serta cabaran yang dihadapi oleh pihak industri untuk memanfaatkan teknologi ini dengan sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE