SKUAD hoki wanita kebangsaan tetap menaruh sepenuh keyakinan untuk menampilkan aksi terbaik pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Bihar, India bermula 11 hingga 20 November ini meskipun bakal bermain tanpa kelibat empat pemain utama.
Ketiadaan pemain-pemain tunjang seperti Hanis Nadiah Onn, Nuramirah Shakirah Zulkifli, Siti Nur Arfah Mohd. Nor dan Siti Zulaikha Husain akibat kecederaan mampu merencatkan corak permainan Malaysian Tigress, namun ia bukan isu besar.
Ketua jurulatih skuad wanita kebangsaan, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim menganggap ia sebagai pentas terbaik buat pemain-pemain muda merebut peluang untuk mempamerkan kemapuan masing-masing dalam kejohanan tersebut.
“Walaupun ketiadaan beberapa pemain utama termasuk yang pernah beraksi pada ACT yang lalu, namun saya percaya 20 pemain yang dipilih ini akan menunjukkan persembahan terbaik mereka.
“Saya juga yakin, senior-senior sedia ada akan membantu pemain-pemain lain bagi memastikan mereka lebih menyerlah di peringkat antarabangsa,” katanya mengulas ketiadaan empat pemain penting itu.
Malaysian Tigress menyenaraikan 10 pemain daripada skuad remaja untuk menggalas cabaran negara di ACT 2024 yang mana mampu menjadi pengalaman berharga sebelum mereka beraksi pada Piala Remaja Asia 2024, Disember nanti.
Nasihin turut menjelaskan, sukan hoki ketika ini sudah pun melalui proses transformasi di mana permainan menjadi semakin pantas, sekali gus memerlukan tahap kecergasan serta teknik yang tinggi.
“Hoki moden sudah berubah dengan perlawanan semakin pantas. Saya yakin gabungan pemain muda dan senior yang memiliki kemahiran teknikal bakal menjadi ramuan terbaik untuk kita memberikan tentangan kepada lawan,” ujarnya.
Menjelang aksi pembukaan 11 November nanti, Malaysia berdepan tugas berat apabila bertemu tuan rumah, India yang merupakan pemenang dua kali selain juara bertahan kejohanan itu.