PETALING JAYA – Hampir dua bulan bercerai, pelakon Fattah Amin mengusik emosi ramai apabila meluahkan kerinduan terhadap anak perempuannya, Nur Fatima Aisya.
Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, berkata, tidak pernah walau sekali dia terlepas daripada memikirkan tentang Fatima, 4, yang kini di bawah jagaan bekas isteri yang juga aktres, Nur Fazura.
“Saya memikirkan tentang kamu setiap hari. Malam terasa amat sukar kerana kamu tiada di sisi.
“Anak perempuanku, saya rindu kamu,” katanya dalam Instagram Story.
Dalam perkongsian sama, Fattah turut mengulang siar video Fatima dari akaun Instagram Nurfatimaisya.
Menerusi video tersebut, Fatima comel dalam persalinan masyarakat India iaitu Lehengga dan sedang bermain buih.
Difahamkan sejak berpisah dengan pelakon Fazura, Fattah dilaporkan tidak lagi tinggal sebumbung bersama anak perempuannya itu.
Namun, Fattah masih bertemu beberapa kali dengan Fatima termasuk meraikan ulang tahun kelahiran seperti yang dikongsi dalam media sosial sebelum ini.
Untuk rekod, Fattah dan Fazura bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 7 Oktober lalu.
Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan. – KOSMO! ONLINE