fbpx

F1: Alonso berkorban demi pasukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALONSO tetap meneruskan GP Brazil hingga tamat perlumbaan biarpun dalam keadaan sakit belakang badan. - AFP

BRAZIL – Pelumba Aston Martin, Fernando Alonso terpaksa mengharungi Grand Prix Sao Paulo dalam keadaan mencabar selepas mengalami sakit belakang yang serius, namun tetap berjuang sehingga ke garisan penamat sebagai tanda penghargaan kepada pasukannya.

Juara dunia dua kali itu tiba lewat di bumi Brazil selepas mendapatkan rawatan jangkitan usus di Eropah sebelum mengalami mimpi buruk sepanjang hujung minggu dan terlepas sesi media buat minggu kedua berturut-turut.

Pelumba berusia 43 tahun itu bermula dari pit-lane dalam perlumbaan sprint selepas terlibat dalam kemalangan semasa sesi kelayakan dan menamatkan perlumbaan utama di tempat ke-14, hanya satu saat di hadapan Zhou Guanyu.

“Separuh kedua perlumbaan sangat mencabar dengan gegaran yang kerap dan kesakitan semakin terasa.

“Jika dalam keadaan biasa, mungkin saya akan hentikan perlumbaan tetapi saya menghargai usaha mekanik yang bekerja keras menyiapkan kereta. Jadi, saya teruskan perlumbaan ini untuk mereka,” ujar Alonso.

Mengulas lebih lanjut, Alonso mengakui tempoh pemulihan akan mengambil masa tambahan selepas tekanan di GP Brazil, selain menyatakan kini dalam pengawasan doktor dan ahli fisioterapi bagi memastikan dia pulih sepenuhnya.

“Saya dah lalui pemeriksaan dan latihan intensif untuk memastikan saya boleh berlumba di sini. Walaupun ia menyakitkan, saya komited untuk bersama pasukan.

“Selepas perlumbaan ini, saya pasti akan ada tambahan masa dalam tempoh pemulihan yang dijangka mengambil masa empat atau lima hari akan datang, jadi saya perlu berehat seketika,” tambah pelumba veteran itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI