fbpx

Diskaun saman trafik separuh harga, rakyat KL tak lepaskan peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Orang ramai mengambil kesempatan membayar saman mereka selepas Polis Trafik Kuala Lumpur menawarkan diskaun 50 peratus bagi beberapa jenis saman bermula 5 November hingga 9 November ini di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, Jalan H.S Lee.

Tinjauan Kosmo! di sini mendapati ramai yang beratur untuk menyelesaikan saman tertunggak dengan lebih jimat sempena tawaran istimewa ini.

Seorang akauntan, Laila Aznan, 30, memanfaatkan peluang ini untuk membayar tujuh saman yang dikenakan atas kesalahan melebihi had laju sejak tahun lalu. Dengan jumlah asal RM1,200, diskaun 50 peratus ini membolehkan dia membayar dengan separuh harga.

“Saya memang tunggu masa polis trafik buat tawaran diskaun begini. Kebanyakkan saman ini adalah kerana had laju, dan saya rasa peluang ini amat membantu untuk mengurangkan beban kewangan,” katanya.

Bagi seorang eksekutif pengurusan, Azila Salihin, 40, diskaun ini memberi peluang untuk menyelesaikan dua saman ‘blacklist’ yang telah menghalangnya daripada memperbaharui cukai jalan motosikal.

“Satu saman asalnya berjumlah RM300, tapi selepas diskaun, hanya perlu bayar RM150 untuk setiap satu. Saya ada lima saman, tapi buat masa ini hanya bayar yang blacklist dahulu,” ujarnya.

Seorang pramugara, Muhammad Norhasrul Abu Hassan, 36, pula memilih menggunakan aplikasi MyBayar PDRM untuk membayar saman. Dia mengakui aplikasi ini memudahkan urusan tanpa perlu beratur panjang di balai polis.

“Saya ada satu saman berharga RM300, tetapi diskaun ini membantu saya hanya perlu bayar RM150. Bayar guna aplikasi sangat mudah, hanya lima minit dah selesai,” katanya.

Selain itu, Puvaneswari Veerappan, 35, seorang eksekutif pentadbiran, turut hadir sebagai wakil syarikatnya untuk menyelesaikan saman pekerja. Dengan 10 saman yang dikenakan kepada pekerja syarikat, Puvaneswari menjadi wakil membayar atas nama syarikat.

“Diskaun ini sangat membantu kami kurangkan kos penyelesaian saman, terutama bagi syarikat yang banyak berurusan di jalan raya,” katanya.

Orang ramai berharap tawaran diskaun seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan bagi membantu mereka yang mempunyai saman tertunggak. Diskaun ini dilihat sebagai satu inisiatif positif daripada pihak polis dalam meringankan beban kewangan rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI