fbpx

Dewan Rakyat: 107 syarikat terlibat kartel kena penalti RM571.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM571.5 juta penalti kewangan dikenakan terhadap 107 syarikat oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sejak tahun 2015 kerana terbabit dalam kartel.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Ali berkata, turut dikenakan penalti itu dua syarikat monopoli yang didapati menyalahgunakan kedudukan.

“Pada 2015, MyCC menumpaskan kartel pengeluaran ais terdiri daripada 24 pemain di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya yang didapati menetapkan harga produk ais dan mengenakan RM252,250 penalti.

“Pada tahun sama, MyCC menumpaskan kartel pengeluar roti dan manisan di Sibu yang terdiri daripada 14 syarikat kerana menetapkan harga produk dan penalti dikenakan RM247,730,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai usaha KPDN bagi menghapuskan kartel dalam sektor bahan makanan untuk menggalakkan persaingan.

Selain itu, Armizan berkata, MyCC turut menumpaskan kartel yang terdiri daripada lima syarikat yang menjalankan perkhidmatan feri di antara Kuala Perlis dan Langkawi pada 2021.

Menurut beliau, perkhidmatan itu membolehkan pengangkutan produk termasuk bahan makanan dihantar ke Langkawi dan penalti kewangan sebanyak RM2.19 juta.

Tambah beliau, pada Disember 2023, MyCC mengenakan penalti kewangan RM415.5 juta terhadap lima pengeluar makanan ayam kerana terbabit dalam kartel penetapan kuantum kenaikan harga makanan ayam.

“Bagi memperkasakan lagi usaha memerangi kartel sektor bahan makanan, MyCC menjalankan kajian am bertujuan mengkaji struktur pasaran dan amalan perniagaan industri padi dan beras negara.

“MyCC juga sedang menjalankan kajian terhadap Approved Permit (AP) dan Import Permit (IP) dalam pengimportan bawang, daging dan kelapa. Kajian ini dijangka dibentangkan sebelum akhir tahun ini,” – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI