KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,602 kes kebankrapan bagi penjawat awam direkodkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) sepanjang tempoh empat tahun sehingga September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebanyak 666 kes kebankrapan tersebut direkodkan tahun ini.
“Sebanyak 628 kes direkodkan pada tahun 2013, 621 kes (2022), 678 kes (2021) dan 1,009 kes (2020)
“Kerajaan memandang serius masalah muflis dan keterhutangan dalam kalangan penjawat awam,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem (GPS-Serian) berhubung usaha menangani masalah kes muflis dalam kalangan penjawat awam.
Azalina berkata, ketua jabatan bertanggungjawab memantau dan menilai semula keupayaan pegawai yang mempunyai keterhutangan serius untuk membayar hutang dari semasa ke semasa.
Jelas beliau, perkara itu diperuntukkan dalam Peraturan Berkaitan Penyelenggaraan Taraf Kehidupan dan Keterhutangan Kewangan yang Serius.
Kata beliau, peraturan itu memperuntukkan bagi tujuan had potongan gaji, pendapatan bersih pegawai awam perlu berada sekurang-kurangnya pada paras minimum 40 peratus daripada emolumen bulanan melainkan terdapat pinjaman perumahan dan pendidikan.
“Antara peranan Unit Integriti adalah memantau pegawai yang menghadapi keterhutangan kewangan serius berdasarkan Peraturan 13, Peraturan- Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.
Tambah beliau, penjawat awam terlibat akan diberi bantuan kaunseling kewangan untuk membantu mereka mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan situasi muflis serta tindakan tatatertib. – KOSMO! ONLINE