SUBANG – Seramai 16 anggota dan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di Filipina, dianugerahkan sijil penghargaan di Pangkalan Udara Subang, di sini, hari ini.
Menurut Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, mereka yang menerima sijil penghargaan terdiri daripada tiga juruterbang, seorang pembantu juruterbang, seorang pegawai kejuruteraan, dua kuartermaster udara, lima juruteknik pesawat dan empat anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU).
Majlis ini adalah untuk meraikan perwira dan perajurit negara yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa melalui kejayaan cemerlang mereka melaksanakan tugas dengan penuh komited dan dedikasi bagi misi HADR tersebut.
“Mereka ini telah terlibat secara langsung dalam melaksanakan Misi HADR pada 26 Oktober hingga 2 November di Filipina diketuai oleh Methaddaeus Raphael Ak Azis @ Sait TUDM.
“Misi ini merupakan arahan Kerajaan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu Kerajaan Filipina yang dilanda Taufan Tropika Kristine atau Trami pada bulan Oktober lepas yang menyebabkan negara tersebut dilanda bencana banjir besar dan kejadian tanah runtuh di beberapa wilayah mereka,” katanya ketika sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut beliau, TUDM secara keseluruhannya berjaya melaksanakan sembilan sorti penerbangan sepanjang Misi HADR bermula dari 27 Oktober sehingga 1 November lalu yang mana ia melibatkan penerbangan membawa sejumlah 38,537 lbs bekalan bantuan, termasuk 1,812 lbs bot dengan enjin, kanvas tarpaulin (18,125 lbs) dan bekalan makanan dalam kotak (18,600 lbs).
Katanya, penglibatan Malaysia membuktikan komitmen Malaysia untuk saling membantu antara satu sama lain dapat mengeratkan lagi hubungan negara-negara ASEAN di rantau ini.
“Kejayaan melaksanakan misi ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada rakyat Filipina yang terkesan bencana, tetapi turut mengeratkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan Filipina sekali gus menunjukkan kemampuan TUDM untuk melaksanakan pelbagai misi dan kami berbangga kerana diberi peluang untuk melaksanakannya.
“TUDM amat berterima kasih kepada Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia kerana memberi sepenuh kepercayaan untuk melaksanakan tugas ini,” ujarnya lagi.
Kecemerlangan para pegawai dan anggota TUDM dalam Misi HADR juga turut dihargai oleh Tentera Udara Filipina (PAF) di satu Majlis Penganugerahan Pingat yang disempurnakan oleh Panglima PAF, Leftenan Jeneral Stephen P.Parreño pada 31 Oktober lalu di Pangkalan Udara Villamor.
Kesemua pegawai dan anggota LLP TUDM telah menerima ‘Award of The Military Civic Action Medal dan Award of The Chief of Staff, AFP Commendation Medal and Ribbon’.
“Akhir sekali, saya selaku Panglima TUDM serta mewakili pucuk pimpinan tudm dan kerajaan Malaysia sekali lagi ingin menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota terlibat.
“Sesungguhnya, kejayaan mereka ini membuktikan keupayaan dan kesiagaan tudm untuk di aturgerak sebilang masa bagi melaksanakan sebarang operasi dan misi sangat penting. Pembangunan keupayaan ini perlu diberi keutamaan dan dilaksanakan mengikut perkembangan teknologi dan perubahan lanskap geostrategi di rantau ini dan dunia,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Panglima TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Sri Muhamad Norazlan Aris; Panglima Pendidikan & Latihan Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM. – KOSMO! ONLINE.