LONDON – Seorang nenek mendakwa jirannya sengaja meracuni 28 ekor ikan peliharaannya yang bernilai £25,000 (RM142,433) selepas satu pertengkaran, lapor portal berita metro.co.uk semalam.
Christine Whiteley, 70, terkejut selepas bangun daripada tidur dan mendapati kolam menempatkan ikannya diselaputi buih putih tebal dipercayai dicemari bahan pencuci.
Nenek kepada empat cucu itu cuba menyelamatkan semua ikan tersebut yang sebahagiannya melebihi 5.08 sentimeter panjang dengan menyiram air bersih.
Hanya seekor ikan emas terselamat, manakala ikan lain termasuk koi ditanam dalam ‘kubur besar’ di tanah milik rakan keluarganya.
Christine juga mempertimbangkan untuk berpindah dari rumah yang didiaminya selama 48 tahun di Alfreton, Derbyshire kerana percaya perbuatan khianat itu dilakukan oleh penduduk setempat.
“Saya kecewa, begitu juga anak perempuan saya (ekoran tragedi itu). Ikan-ikan itu mahal. Saya sangat merindui haiwan peliharaan saya,” katanya. – AGENSI