PARIS – Tahun 2024 adalah paling panas dalam sejarah dengan purata suhu melebihi paras 1.5 darjah Celsius, kata agensi pengawasan cuaca Kesatuan Eropah(EU), Copernicus hari ini, menjelang sidang iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB).
Copernicus berkata, dunia membuka ‘lembaran sejarah baharu’ rekod suhu yang perlu dijadikan peringatan untuk menyegerakan pengurangan emisi di Bumi pada rundingan PBB tersebut di Azerbaijan, minggu depan.
Bulan lalu yang ditandai oleh banjir dahsyat di Sepanyol dan Taufan Milton di Amerika Syarikat, merupakan Oktober kedua paling panas dalam sejarah dengan purata suhu global kedua paling panas berbanding tempoh sama pada 2023.
Menurut Copernicus, 2024 menyaksikan purata suhu adalah 1.55 darjah Celsius lebih tinggi berbanding tahun 1850 hingga 1900 iaitu era sebelum pembakaran bahan api fosil mencapai skala industri.
“Sah bahawa 2024 akan menjadi tahun paling panas dalam rekod dan tahun pertama mencatatkan purata suhu 1.5 darjah Celsius lebih tinggi daripada paras zaman pra industri.
“Ini menandakan lembaran baharu dalam rekod suhu global dan sepatutnya menjadi pemangkin untuk meningkatkan matlamat pada Sidang Perubahan Iklim(COP29),” kata Timbalan Pengarah Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus, Samantha Burgess.
Pemanasan global bukan sahaja mengenai peningkatan suhu tetapi juga kesan buruk haba tambahan ke atas atmosfera dan lautan.
Udara lebih panas boleh menyimpan banyak wap, manakala suhu lautan lebih panas pula bermakna lebih banyak pengewapan berlaku yang menyebabkan hujan serta ribut ekstrem. – AFP