LONDON – Kapten Aston Villa, John McGinn optimis pasukan mampu untuk mengekalkan rekod bersih menjelang aksi menentang Club Brugge, sekali gus mengekalkan status pendahulu Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.
Menurut McGinn, rakan-rakan sepasukan sudah melupakan sepenuhnya kekecewaan apabila tewas 1-4 kepada Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lepas.
Kini, McGinn percaya semua pemain sudah bersedia untuk memberikan 100 peratus pada perlawanan penting itu dalam misi mencerahkan harapan pasukan untuk mara ke pusingan 16 terbaik UCL nanti.
“Saya rasa kita boleh lupakan kekalahan kepada Spurs dan melihat kepada perspektif yang berbeza. Pasukan perlu kekal positif kerana kita masih lagi berada dalam kelompok teratas saingan UCL.
“Jika kita menang menentang Brugge, kita akan mendahului carta liga UCL dan selepas itu kita akan kembali fokus pada aksi EPL menentang Liverpool pada Sabtu ini,” kata McGinn.
Sementara itu, pengendali Villa, Unai Emery mengakui sedikit resah apabila dua tonggak utama, Matty Cash dan Morgan Rogers mengalami sedikit kecederaan ketika menentang Spurs sebelum ini.
“Saya rasa Rogers tidak mengalami kecederaan yang serius. Namun, kita perlu berwaspada dengan Cash kerana kecederaannya lebih teruk tetapi saya harap ia tidak terlalu serius,” katanya. – AGENSI