LISBON – Ruben Amorim boleh dianggap sudah lulus ujian pertama sebelum memulakan tugas sebagai pengurus Manchester United selepas mengemudi Sporting Lisbon membelasah Manchester City 4-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.
Pada perlawanan berlangsung di Stadium Jose Alvalade itu, penyerang Sporting, Viktor Gyokeres terus mengganas apabila meledak hatrik dan satu gol lagi menerusi Maximiliano Araujo, manakala jaringan tunggal City dijaringkan oleh Phil Foden.
Kemenangan itu pastinya menjadi hadiah paling bermakna buat Amorim memandangkan ia merupakan aksi terakhir beliau bersama Sporting di laman sendiri sebelum berkunjung ke Braga bagi saingan Liga Primeira Portugal hujung minggu ini.
“Melihat kepada perlawanan hari ini, sebenarnya tuah memihak kepada kami. Pasukan lawan gagal menyempurnakan sepakan penalti, jadi ia sedikit sebanyak membantu kami untuk mencatat kemenangan.
“Ini adalah antara hadiah perpisahan terbaik dengan penyokong-penyokong Sporting tetapi ia lebih bermakna jika kami menang ke atas Braga nanti. Saya gembira kerana aksi terakhir di Jose Alvalade berakhir dengan kemenangan,” kata Amorim.
Keputusan itu bukan sahaja menjadi hadiah terbaik buat penyokong-penyokong Sporting, malah ia turut diraikan peminat-peminat United yang sudah tidak sabar menyambut kehadirannya di Old Trafford minggu depan.
Sebaik perlawanan semalam tamat, Amorim diberikan penghormatan cukup besar apabila pemain serta pegawai Sporting menjulang beliau sebagai tanda terima kasih atas bakti yang ditaburkan selama ini.
“Apabila saya berada di kelab baharu nanti, pendekatan pastinya lebih berbeza berbanding di sini. Saya tidak boleh kekalkan falsafah sama kerana kedua-dua pasukan sangat berbeza,” ujarnya. – AGENSI