PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan siasatan dan proses rekod keterangan terhadap pengasas platform e-dagang, FashionValet, Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar masih belum berakhir.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, sekitar 4.20 petang tadi, sepasukan pegawai penyiasat SPRM telah diarahkan ke rumah dan premis (pejabat) pasangan itu bagi siasatan lanjut.
Beliau berkata, pegawai penyiasat kini dalam peringkat memeriksa pemilikan aset-aset yang dimiliki pasangan berkenaan.
“Pegawai saya kini dalam proses membuat siasatan terhadap premis-premis dimiliki pasangan itu. Mereka pergi ke premis-premis yang ada untuk mengambil dokumen dan sebagainya.
“Perkembangan lanjut saya akan maklumkan kemudian. Sebenarnya siasatan terhadap pasangan ini masih berlangsung dan belum habis lagi,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Ditanya bila proses rekod keterangan terhadap pasangan itu akan berakhir, Azam berkata, proses itu akan terus berlangsung terutama berkaitan pemilikan aset-aset milik pasangan itu.
“Pegawai penyiasat akan membuat persoalan mengenai pemilikan aset untuk direkod bersama dalam kenyataan mereka,” katanya.
Katanya, beliau memaklumkan bahawa jika dua hari tidak mencukupi, proses rekod keterangan dan siasatan lanjut terhadap pasangan itu akan disambung pada hari lain.
Dalam pada itu, Azam turut mengesahkan tiga lagi individu telah dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu menjadikan sembilan individu dipanggil setakat ini. – KOSMO! ONLINE