SKUAD perahu naga kebangsaan mengukir sejarah tersendiri apabila pulang daripada Kejohanan Dunia 2024 di Filipina dengan pencapaian cemerlang, satu pingat perak dan satu gangsa sekali gus membuktikan kehebatan Malaysia di persada antarabangsa.
Kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah menyerlahkan potensi besar sukan perahu naga negara untuk menyumbang lebih banyak pingat di Sukan SEA Thailand tahun depan.
Kapten perahu naga negara, Muhammad Fakhrullah Mohd. Rumaize menyifatkan kemenangan itu membuktikan mereka kini berada pada landasan terbaik, selain menyatakan harapan pihak berwajib memberikan lebih tumpuan kepada sukan berkenaan semakin berkembang.
“Saya harap dengan apa yang dipersembahkan di Kejohanan Dunia kali ini, MSN (Majlis Sukan Negara) atau MASCA (Persatuan Kanu Malaysia) dapat menyokong sebaiknya sukan kanu untuk meningkatkan semangat kami bertanding di pentas dunia.
“Kami ke kejohanan ini dengan dana sendiri tanpa sebarang bantuan, jadi kami amat berharap ada insentif buat pasukan atas kejayaan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Skuad yang terdiri daripada 80 peratus atlet Johor yang pernah mencipta nama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 itu sudah pun mencipta impak sewaktu Sukan SEA Kemboja 2023 dengan meraih satu perak dan satu gangsa.
Melihat peningkatan prestasi di Filipina, Fakhrullah optimis skuad perahu naga negara berada pada landasan tepat untuk aksi perebutan emas di Bangkok tahun depan.
Fakhrullah meluahkan keyakinan selepas menyaksikan prestasi cemerlang pasukannya yang mencipta sejarah di pentas dunia dengan membawa pulang pingat pertama Malaysia yang mana ia belum pernah dilakukan sejak awal penglibatan negara dalam sukan tersebut.