KUALA LUMPUR — Mengagumi bakat kurniaan Tuhan, vokalis Setia Band, Charly mengakui pernah menyimpan hasrat untuk berkolaborasi dan berduet dengan Allahyarham Saleem namun tidak kesampaian.
Ujar Charly atau nama sebenarnya Charly Van Houten, 44, Saleem bukan sahaja idolanya dalam muzik sejak di bangku sekolah bahkan, dia belajar menyanyi menggunakan rasa menerusi nyanyian figura terbabit.
“Memang saya teringin sangat mahu berkolaborasi Allahyarham Saleem, beliau dulu pernah menjadi pembukaan untuk konsert saya di Malaysia sekitar 2007, masa itu masih dengan kumpulan Iklim.
“Di Malaysia pada saya tiada lagi orang seperti dia yang mempunyai karisma, saya banyak belajar bagaimana menyanyi dengan tulus itu melalui Saleem, ‘feel’ itu dapat,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media Konsert Muzik Harmoni Setia, di sini, hari ini.
Tambah pelantun lagu Asmara itu, kebanyakan lagu ciptaannya banyak mendapat rujukan daripada kumpulan muzik yang meledak di Malaysia dan Indonesia.
“Bagi kumpulan ST12 dan secara peribadinya, saya banyak mengambil referensi dari kumpulan di Malaysia seperti Stings, Iklim, Exists.
“Deretan kumpulan itu yang memberi inspirasi sehingga saya mampu berkarya dan menghasilkan lagu-lagu di ST12 dan menjadi kumpulan pelopor Melayu terlaris di Indonesia.
“Pada saat itu, ST12 membuka sejarah bukan hanya menjadi kumpulan yang ‘booming’ tapi merubah peradaban muzik pada saat itu,” jelasnya.
Paling penting kata Charly, ketika itu hampir ribuan produser dan band meniru rentak lagu seakan-akan seperti ST12 dan mula muncul kumpulan seperti Wali Band dan Kangen Band.
Berkongsi perkembangan terkini, Charly bakal menjayakan Konsert Muzik Harmoni Setia pada 7 Februari 2025 di Mega Star, Arena. — KOSMO! ONLINE.