PETALING JAYA – Syarikat Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. menyasarkan lebih banyak kerjasama dengan kolej kulinari di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam mempromosikan produk sos Mahsuri.
Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, setakat ini penglibatan syarikatnya bersama Institut Makanan Malaysia (FIM) memberi satu impak positif apabila sos Mahsuri semakin dikenali dalam kalangan pelajar kulinari.
“Sekarang kita baru bersama FIM, dan untuk akan datang kita dalam perancangan mendekati kolej kulinari yang ada bukan sahaja di Semenanjung, malah Sabah dan Sarawak juga.
“Untuk di FIM kita lihat, pelajar-pelajar di sini berjaya mengendalikan produk sos Mahsuri dengan sangat baik terutama Sos Tiram Mahsuri, Kicap Manis Pedas Mahsuri yang digunakan dalam masakan seperti kuetiau goreng, char kuetiau dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di FIM Street Food Fest di sini, hari ini.
Bercerita lanjut, Mohd. Jazri berkata, pihaknya turut memberi sumbangan berbentuk wang tunai serta sos Mahsuri bagi menjayakan program jualan hari ini.
“Tujuan kita adalah ingin memberitahu kepada orang ramai bahawa sos Mahsuri adalah salah satu bahan makanan yang mudah digunakan selain membantu memberi rasa yang luar biasa dalam masakan.
“Ini terbukti apabila rata-rata pelajar FIM yang berniaga di Street Food Fest hari ini menggunakan sos Mahsuri bagi menyedapkan masakan mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif FIM, Norafidah Muhammad Hashim memberitahu, FIM Street Food Fest adalah satu platform buat pelajar FIM mendapatkan pengalaman dalam merancang serta menguruskan sesebuah program keusahawanan.
“Menjadi satu harapan FIM untuk melahirkan graduan-graduan yang bukan sekadar berkemahiran di dalam bidang masakan tetapi juga dapat membentuk kemahiran insaniah yang diperlukan sewaktu memasuki bidang pekerjaan kelak,” katanya. – KOSMO! ONLINE