KETUA jurulatih beregu wanita, Rosman Razak mempunyai visi dan misi yang cukup jelas sebaik sahaja memikul tanggungjawab menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terutama melahirkan generasi baharu bertaraf dunia sehebat gandingan No. 7 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah.
Rosman yang pernah menjadi ‘arkitek’ membentuk gandingan Pearly-Thinaah pada 2019 tersebut mengakui fokusnya ketika ini adalah mengecilkan jurang prestasi antara pemain junior dan senior.
Rosman yang turun menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam mengakui proses tersebut bukan sekadar mengecilkan jurang tetapi tekad mencipta juara baharu serta membina barisan pelapis konsisten yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.
“Saya kembali ke BAM kerana tertarik dengan cadangan yang diusulkan jurulatih, Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan ABM) untuk membentuk barisan beregu wanita yang baharu. Ini satu tanggungjawab besar, tetapi amat menarik bagi saya.
“Sudah pasti tugas saya tidak lari terutama misi membentuk Pearly-Thinaah ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan kebanyakan beliau (Rexy) tekankan kepada merapatkan jurang antara pemain senior dan remaja agar tidak terlalu jauh.
“Saya rasa cabaran tersebut bukan senang tetapi saya tertarik dengan harapan dan kepercayaan yang beliau beri kepada saya,” katanya ketika ditemui di ABM semalam.
Dalam pada itu, Rosman turut menegaskan pemain di bawah kendaliannya itu akan diterapkan dengan matlamat lebih jelas agar tidak hilang arah mengenai fokus yang dibawa mereka.
Ujar Rosman, terdapat lapan pasangan beregu wanita yang menjalani latihan di bawah BAM tetapi keputusan pemilihan gandingan akan diketahui selewat-lewatnya awal tahun depan.
“Fokus utama adalah untuk menilai pemain secara individu bagi memastikan mereka mempunyai ciri-ciri seorang juara,” ujarnya.