WASHINGTON – Pemimpin dunia berlumba-lumba memuji calon Parti Republikan, Donald Trump apabila beliau sekali lagi menang dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Jumlah undi elektoral yang diperoleh Trump membolehkan beliau jauh meninggalkan pencabar utamanya, Kamala Harris, manakala pasaran kewangan juga meningkat.
Meskipun keputusan pilihan raya Presiden AS itu masih belum disahkan, kemenangan besar Trump mengundang reaksi positif pemimpin dunia.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan kemenangan Trump sebagai satu kepulangan bersejarah bagi bekas pemimpin AS tersebut serta permulaan baharu dalam pakatan AS-Israel.
“Tahniah atas kemunculan semula terhebat dalam sejarah! Kepulangan bersejarah anda ke White House menawarkan permulaan baharu bagi AS dan komitmen yang kuat kepada pakatan besar antara Israel dan Amerika. Ini adalah kemenangan besar!” kata Netanyahu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya.
Ketika Trump mendominasi undi elektoral, China berharap untuk ‘hidup bersama secara aman’ dengan AS.
“Kami akan terus mendekati dan mengendalikan hubungan China-AS berdasarkan prinsip saling menghormati, kewujudan bersama secara aman dan kerjasama yang memuaskan antara dua pihak.
“Kami menghormati pilihan rakyat AS,” kata jurucakap Kementerian Luar Mao Ning pada satu taklimat.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengucapkan tahniah kepada Trump sambil berkata, beliau bersedia untuk bekerjasama ‘dengan rasa hormat dan cita-cita’ seperti ‘yang kami berjaya lakukan selama empat tahun’.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky turut mengucapkan tahniah kepada Trump atas ‘kemenangan yang mengagumkan’. Beliau berharap jawatan Presiden Trump akan membawa ‘kedamaian yang adil di Ukraine’.
“Saya menghargai komitmen Trump terhadap pendekatan ‘keamanan melalui kekuatan’ dalam hal ehwal global. Ini adalah prinsip yang boleh membawa keamanan di Ukraine dengan lebih dekat,” kata Zelensky dalam satu kenyataan di media sosial.
Pada masa sama, Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Mark Rutte berkata, kepulangan Trump akan membantu mengekalkan dan menguatkan perikatan mereka.
“Kepimpinan beliau sekali lagi akan menjadi kunci untuk memastikan perikatan kami kukuh. Saya berharap dapat bekerjasama dengan beliau sekali lagi untuk memajukan keamanan melalui kekuatan NATO,” kata Rutte dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri India Narendra Modi pula berkata: “Tahniah kepada rakan saya @realDonaldTrump atas kemenangan bersejarah dalam Pilihan Raya Presiden AS.”
Kemenangan yang diperoleh Trump juga menyaksikan mata wang dollar AS meningkat, bitcoin mencecah rekod tertinggi, manakala saham Eropah meningkat secara mendadak. – AFP